PGA serbu kilang proses arak tiruan bernilai RM1.2 juta - Utusan Malaysia

PGA serbu kilang proses arak tiruan bernilai RM1.2 juta

RIBUAN liter arak tiruan disimpan dalam kotak dan tong dirampas PGA dalam operasi di tiga lokasi berasingan di Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Taktik sebuah sindiket menyewa kilang kayu dan besi untuk memproses arak tiruan di daerah ini terbongkar selepas ribuan liter minuman keras itu bernilai sehingga RM2.44 juta termasuk cukai dirampas, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintenden Dimin Awang berkata, dalam serbuan di tiga lokasi berasingan, sindiket yang aktif sejak tiga tahun lalu menyewa dua gudang dan sebuah kilang bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah premis di Bukit Treh kira-kira pukul 11 pagi, pihaknya telah menahan dua lelaki tempatan berusia 29 tahun.

“Hasil serbuan, polis berjaya merampas empat buah tong dan 500 buah kotak arak pelbagai jenama.

“Selain itu, beberapa alatan memproses arak seperti dua buah mesin penutup botol dan dua buah set pam elektrik turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, PGA kemudiannya meneruskan serbuan di dua lokasi dengan dipandu arah oleh suspek di Parit Kadir, Bukit Pasir dan Parit Jamil, Parit Jawa, di sini.

“Serbuan seterusnya menemui 14 tong mengandungi arak. Selain minuman keras, kita juga merampas beberapa kenderaan iaitu tujuh buah lori dengan muatan seberat satu tan hingga 10 tan, 10 buah kereta pelbagai jenis dan sebuah forklift.

“Kesemua nilai arak tanpa cukai ini adalah berjumlah RM1.208 juta manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk alatan memproses arak, kenderaan dan cukai arak berjumlah RM3.54 juta,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kini diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976.

Orang awam diminta terus menyalurkan maklumat bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN