KOTA KINABALU: Pewartaan Taman Marin Teluk Darvel, Lahad Datu yang berkeluasan 117,000 hektar dijangka akan dilakukan pada 2023.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, pewartaan akan dapat dilakukan selepas semua proses kajian dan pendengaran awam dilaksanakan.
Pada masa ini, agensi berkaitan sedang giat mengumpul maklumat untuk persediaan konsultasi dan pembangunan pelan pengurusan.
“Untuk itu, kita sedang menjalankan kajian sosiologi ke kampung-kampung bagi mendekati komunti. Malah, satu ekspedisi saintifik susulan akan dilakukan pada awal tahun depan.
“Konsep pelan pengurusan dijangka akan dihasilkan untuk dibincangkan dengan pihak berkepentingan, termasuk pengusaha pelancongan di kawasan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-ADUN Dilantik).
Jafry berkata, Taman-Taman Sabah (TTS) juga sedang menyediakan pelan cadangan sempadan warta bersama penyediaan borang permohonan tanah untuk dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur.
Menurut beliau, ia merupakan proses persediaan untuk proses niat warta yang dijangka boleh dibuat padda hujung tahun hadapan.
Kemudian tempoh enam bulan diperlukan bagi proses konsultasi atau pendengaran awam oleh Pejabat Pemungut Hasil Tanah (PPHT) sebelum diputuskan untuk pewartaan pada tahun 2023.
“Kelancaran proses pewartaan ini terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19 sepanjang tahun ini.
“Cadangan pewartaan taman Teluk Darvel ini membabitkan kawasan seluas 117,000 hektar iaitu lebih kurang dua kali keluasan Singapura,” katanya.-UTUSAN ONLINE