Permohonan 'autonomi' UMNO Selangor  urus MN akan dibincang - Utusan Malaysia

Permohonan ‘autonomi’ UMNO Selangor  urus MN akan dibincang

MOHAMAD Hasan dan Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2021 di Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Permohonan Badan Perhubungan UMNO Selangor berhubung pemberian autonomi bagi menguruskan sendiri kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Pas akan dibincangkan serta diperhalusi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehubungan itu, kepemimpinan UMNO di peringkat Pusat akan meminta UMNO Selangor menyatakan pandangan dan alasan mereka berkaitan perkara tersebut.

Bagaimanapun, jelas beliau, maksud perkataan autonomi itu terlalu besar dalam perkara untuk memutuskan hal kerjasama di antara UMNO dengan Pas.

“Perkataan autonomi itu satu perkataan yang besar, kalau mahu bersama dengan Pas tidak ada isu. Mengapa pula nak minta autonomi, kalau semua nak minta autonomi nanti apa jadi, tinggal Negeri Sembilan, susah juga.

“Bukan kata kuasa autonomi, minta supaya mereka berunding terus dengan Pas, itu bukan isu, tidak ada apa-apa arahan daripada parti untuk kita memutuskan atau mengkaji semula hubungan dengan Pas, tidak ada, cuma baru-baru ini ada perdebatan dalam media sosial, itu biasa,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2021, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin.

Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berharap, pihaknya diberikan autonomi bagi menguruskan sendiri kerjasama dengan Pas.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, pada mesyuarat yang dilakukan bersama Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi pada bulan lalu, perkara itu ada dibangkitkan dan kedua-dua pihak sepakat bagi meminta autonomi daripada parti masing-masing di Selangor.

Sementara itu, Mohamad berkata, hubungan UMNO dan Pas menerusi MN masih berjalan seperti biasa dan belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai masa depan hubungan tersebut setakat ini.

“Orang ingat MN itu satu parti atau atau satu pertubuhan berdaftar, kita tidak berdaftar. Ia hanya sebagai platform untuk kita menjalinkan kerjasama, bila kita menjalinkan kerjasama tanpa ada ikatan perjanjian, ada benda kita setuju ada benda kita tidak setuju. Ada kalanya UMNO berpendirian macam ini, Pas rakan kita  berpendirian begitu, jadi itu tidak ada isu sebab kita tidak memaksa.

“Tiada kata lagi nak adakan rundingan tentang MN, tidak ada, sehinggalah nanti antara kedua-kedua pihak, ada satu nanti yang memutuskan tidak akan bersama. Tetapi setakat ini UMNO tidak ada memutuskan apa-apa hubungan, begitu juga Pas belum memutuskan apa-apa hubungan, jadi kita macam biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN