JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO mahu pemilihan parti sama ada di peringkat Pusat atau bahagian ditangguhkan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi mengelak proses berkenaan mengganggu persiapan dan jentera parti.
Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros berkata, langkah itu wajar dilaksana kerana kebiasaannya selepas pemilihan parti akan berlaku fasa ‘perpecahan’.
“Kita tidak mahu perpecahan itu berlarutan sehingga PRU-15 yang menyebabkan jentera dan fokus parti terganggu. Selain itu, kita juga mencadangkan kepada kepimpinan parti untuk mengadakan PRU lebih awal bagi mengambil mesej jelas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mana rakyat mahukan kestabilan politik.
“Kita selaku parti politik perlu ambil tanggungjawab untuk kembalikan kestabilan itu, apabila kestabilan politik dapat dikembalikan banyak perkara boleh selesai, uruskan negara keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya a ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Molek, di sini.
Sementara itu, mengulas mengenai status bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Noor Azleen mengakui pemimpin berkenaan masih mempunyai pengaruh yang boleh membawa impak positif kepada parti. – UTUSAN ONLINE