KUALA LANGAT: Akibat bersikap tidak bertanggungjawab, pemilik sebuah syarikat pengangkutan didenda RM2,000 akibat membuang sampah secara haram di Jalan Teluk Mengkuang, Teluk Panglima Garang di sini.
Lelaki berusia 50-an itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Datok semalam kerana melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 4, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (Majlis Daerah Kuala Langat) 2007.
Majistret Khairul Farhi Yusob menetapkan hukuman selepas tertuduh yang tidak mengaku bersalah berbuat demikian pada 27 Oktober lalu.
Selain itu tertuduh dikehendaki membayar RM3,000 kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sebagai kos simpanan selepas lori syarikatnya disita selama lebih sebulan oleh pihak berkuasa tempatan itu.
MPKL dalam satu kenyataan memberitahu, berdasarkan pertuduhan, MPKL sebelum ini menyita lori milik syarikat terbabit yang sarat dengan sampah ketika membuang sampah di sana.
Menurutnya, pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abdul Rahim dan dibantu oleh Pegawai Pendakwa MPKL, Ahmad Razali Abdul Manap.
Dalam pada itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim berkata, pihaknya sering kali mengingatkan agar individu atau syarikat, tidak membuang sampah sesuka hati di daerah ini.
Tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau syarikat termasuk dihadapkan ke mahkamah bagi kesalahan tersebut.










