KUCHING: Parti-parti politik pembangkang disarankan datang ke negeri ini, membuka mata seluas-luasnya dan melihat bagaimana kepelbagaian etnik tanpa mengira agama telah menikmati keamanan dan keharmonian yang dicemburui seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hal itu ketika Pakatan Harapan (PH) terutama DAP cuba membawa hasutan politik, agama dan bangsa daripada Semenanjung ke Sarawak setiap kali pilihan raya.
“Propaganda mereka kali ini ialah GPS menuduh penyertaan GPS dalam Kerajaan Persekutuan bersama Barisan Nasional (BN) dan Pas menjejaskan keharmonian kepelbagaian budaya dan agama di negeri ini.
“Propaganda mereka telah menafikan jejak rekod GPS yang telah mengekalkan keharmonian agama dan bangsa di sini sejak beberapa dekad lalu sehingga Sarawak terkenal sebagai wilayah harmoni dan bertoleransi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, gabungan itu membentuk Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik, menjaga hak istimewa Sarawak dan mendakwa PH gagal melakukannya ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan.
“Rakyat Sarawak tidak akan lupa bagaimana mereka berusaha menangguhkan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo termasuk membatalkan Fasa 2 lebuh raya berkenaan.
“Malah, pembangkang membatalkan tiga jambatan, penafian dana peruntukan RM1 bilion untuk membaiki sekolah di sini dan memungkiri janji royalti minyak sebanyak 20 peratus untuk dikembalikan kepada Sarawak yang memaksa kerajaan GPS mengenakan cukai jualan ke atas Petronas,” katanya.