Pemandu treler langgar 10 maut di Lebuhraya Elite mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Pemandu treler langgar 10 maut di Lebuhraya Elite mengaku tidak bersalah

MOHD. Rafi Jaafar (tengah) menutup wajahnya selepas didakwa dengan 10 pertuduhan memandu secara merbahaya hingga menyebabkan kemalangan dan kematian 10 individu di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan dan kematian 10 individu, tiga hari lalu.

Tertuduh, Mohd. Rafi Jaafar, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua 10 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Rafi yang memandu treler jenis Hanvan didakwa telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya dan menyebabkan kemalangan seterusnya kematian 10 penumpang kenderaan WNL 1061 dan MAS 6651.

Penumpang kenderaan WNL 1061 ialah Puteri Hidayah Abdul Razak, 12; Razatul Aliah Abdul Razak, 16; Mohd. Razarul Amin Abdul Razak, 17; Mohd. Raid Fathi Abdul Razak (bayi); Mohd. Rokaizat Rezky Abdul Razak, 9; dan Mohd. Aizat Syazwan Abdul Razak, 10.

Turut berada dalam kenderaan WNL 1061 ialah Norul Naziah Buyong, 37; Mohd. Hidayat Hakimie Abdul Razak, 7; dan Puteri Nur Ain Shalwana, 3.

Penumpang kenderaan MAS 6651 pula ialah Muhamad Rahimi Rolex, 27.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Shah Alam pada pukul 12.02 tengah malam, 18 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Mohd. Asnawi Abu Hanipah serta Saidah Fasihah Che Yussoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu ditahan selain tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan lebih rendah memandangkan isterinya yang merupakan seorang suri rumah kini berada di Hospital Melaka bagi menjaga anaknya yang sakit.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan lesen memandu digantung serta-merta selain tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi.

Tertuduh juga diarahkan untuk melapor diri di balai polis berhampiran kediaman pada minggu pertama setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 27 Januari 2022.

Akhbar tiga hari lalu melaporkan 10 individu maut dirempuh treler ketika berhenti di lorong kecemasan Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite menghala Shah Alam yang turut menyebabkan seorang ibu dan lapan anaknya maut di tempat kejadian.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Norul Naziah dan lapan anaknya berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun dilaporkan menaiki Proton Wira dipandu suaminya Abdul Razak Majit, 50, yang cedera ringan.

Seorang lagi mangsa yang maut adalah seorang mekanik, Muhamad Rahimi, 27, yang mana ketika kejadian memandu kereta jenis Proton Wira, datang untuk membantu menghidupkan bateri kereta dipandu Abdul Razak.

Selain dua kereta Proton Wira, sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia turut berada di lokasi kejadian juga untuk membantu kereta dipandu Abdul Razak.

Kesemua jenazah sembilan beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini pada pukul 1.30 petang kelmarin.

Jenazah Mohd. Rahimi turut dikebumikan di tanah perkuburan yang sama pada pukul 1 pagi, hari yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya