PETALING JAYA: Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan, Jumaat lalu disambung reman lima hari sehingga 20 Disember ini.
Noor Dellhan Yahaya berkata, seorang lagi individu yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Setakat ini seramai 17 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan perkembangan kes dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang.
Dalam kejadian 12 tengah hari itu, tiga lelaki memperkenal diri sebagai pegawai penguat kuasa memecah masuk rumah ahli perniagaan berusia 50-an.
Polis menjalankan siasatan dan menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa masing-masing berusia 30-an.
SPRM kemudian mengesahkan seorang pegawai suruhanjaya itu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah.
Suruhanjaya itu memberi kerjasama penuh untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada polis. – UTUSAN ONLINE