[TRAGEDI TANJUNG BALAU] ‘PATI pernah minta air, berpakaian macam orang kita’ - Utusan Malaysia

[TRAGEDI TANJUNG BALAU] ‘PATI pernah minta air, berpakaian macam orang kita’

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam membuat tinjauan sekiranya terdapat mayat pendatang asing yang terdampar di pantai dalam kejadian bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pernah terserempak dengan saki baki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya meloloskan diri berjalan kaki sambil meminta bantuan minuman dan keletihan.

Itu antara situasi dialami penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pesisiran pantai, di sini acap kali tragedi bot ka­ram melibatkan PATI berlaku.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Wan berkata, PATI terbabit kadangkala berjalan secara berkumpulan dan berani menegur penduduk yang menaiki motosikal.

Katanya, mungkin bimbang dilaporkan, PATI terbabit akan menyembunyikan diri kerana takut apabila melihat kelibat penduduk dalam jumlah ramai.

“Menurut cerita penduduk yang pernah melihat PATI ini, bila berjaya mendarat, mereka akan tukar baju kering, baju basah ditinggalkan di pantai.

“Mereka juga tidak akan berpakaian seperti orang negara mereka sebaliknya memakai seperti orang kita dan lagaknya seolah-olah bukan pesalah.

“Namun penduduk yang melihat situasi itu sudah pasti akan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Salah seorang nelayan yang enggan dikenali berkata, komuniti itu juga sering terserempak dengan PATI di kawasan pantai disyaki sedang menunggu bot atau baharu mendarat.

Katanya, pernah sekali dia melihat pergerakan PATI pada waktu senja ketika pulang dari laut selepas menangkap ikan.

“Seperti dalam insiden bot karam ini yang ada mangsa belum dijumpai mungkin ada yang hidup. Tambahan pula kawasan ini hutannya luas. Mereka boleh lari ke Tanjung Sedili, Sungai Mas dan Lok Heng.

“Cuma kasihan pada keluarga mereka yang terkorban ini sanggup mengambil risiko nyawa. Jika menggunakan laluan yang sah sudah pasti nyawa tidak tergadai,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang, Abu Bakar Mohamad berkata, nelayan sentiasa membantu pihak berkuasa menyalurkan maklumat jika terlihat PATI.

Katanya, tidak dinafikan ada antara maklumat yang diberikan nelayan berjaya membawa kepada tangkapan PATI.

“Kita memang selalu ‘me­ngadu’ pada askar yang menjaga perairan ini. Tetapi pihak berkuasa kita lebih cekap ke­rana kebanyakan PATI ini berjaya diberkas. Tambah pula kita perhatikan kawalan di pesisir Tanjung Balau, Tanjung Lompat dan sepanjang perairan ini semakin diperketatkan.

“Kita sentiasa memberitahu kepada ahli kita supaya menjadi mata-mata pihak berkuasa agar sama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN