BETING MARO: Pas yakin mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, sekali gus mencipta sejarah parti itu bertapak di Bumi Kenyalang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, keyakinan itu bersandarkan sambutan hangat pengundi yang berharap Pas mengubah kawasan itu menjadi lebih baik dari aspek kemudahan asas.
“Insya-Allah, memang kami menumpukan Beting Maro kerana di sini penyokong Pas sangat ramai. Kalau lihat dari mula setiap kali pilihan raya, undian Pas semakin bertambah.
“Ramai penduduk kata isu-isu di sini masih belum ditunaikan terutama masalah jalan raya dan liputan internet, jadi Pas bertekad mahu menyelesaikannya untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pas memutuskan bertanding satu kerusi pada pilihan raya negeri kali ini berbanding 11 kerusi pada 2016 dengan meletakkan Mohammad Arifiriazul Paijo, 37, sebagai calon kerusi DUN Beting Maro.
PRN Sarawak ke-12 menyaksikan Pas meraih 3,051 undi dalam persaingan tiga penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN), Razaili Gapor yang memperoleh 4,758 undi manakala Parti Amanah Negara (Amanah), Andri Zulkarnaen Hamden, 103 undi.
Beting Maro mempunyai 11,094 pengundi termasuk 1,264 atau 11.39 peratus pemilih berumur 21 hingga 29 tahun; 2,963 atau 26.71 peratus (30-39 tahun); 2,288 atau 20.62 peratus (40-49 tahun) dan 2,402 atau 21.65 peratus (50-59 tahun).
Sementara itu, Mohamad Arifriazul menafikan dakwaan bahawa Pas hanya muncul di kawasan itu setiap kali pilihan raya demi meraih sokongan tetapi tidak menghulurkan bantuan ketika rakyat memerlukan.
“Saya sudah berada di kawasan ini sejak 2011 lagi dan khidmat kami kepada rakyat tidak pernah terhenti. Semasa awal pandemik Covid-19 melanda pun, Pas memberikan lebih seribu bakul makanan.
“Ada beberapa lokaliti yang memang menerima kehadiran kami dengan baik. Harapan untuk menang itu sentiasa ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE










