PETALING JAYA : Pas perlu belajar untuk tidak memaksa mana-mana pihak untuk menerima pengkhianat termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rakan kerjasama politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Isham Jalil berkata, perkara itu termasuklah untuk memaksa UMNO menerima Bersatu sama ada di dalam Muafakat Nasional (MN) atau gagasan politik lain.
Katanya, Pas boleh meneruskan untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu jika itu pilihan mereka dan tiada pihak serta UMNO sendiri akan menghalang keputusan tersebut.
“Mereka bebas memilih untuk ‘berkahwin’ dengan sesiapa, namun mereka juga tidak boleh suruh orang ‘kahwin’ paksa dengan pasangan mereka. Jadi Pas boleh teruskan bersama PN jika itu pilihan mereka, UMNO tidak akan halang.
“Namun Pas tidak boleh paksa mana-mana parti atau orang untuk terima pengkhianat,” katanya.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari baru-baru ini berkata, UMNO perlu belajar menerima Bersatu dan begitu juga sebaliknya bagi memastikan muafakat ummah berjaya.
Malah beliau berkata, UMNO tidak sepatutnya menggunakan alasan bahawa Bersatu yang pernah berada dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menghalang menyertai MN.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah pula memberitahu, Pas seharusnya sendiri kena belajar untuk menghormati UMNO apabila keputusan menolak Bersatu adalah pendirian parti seperti mana ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020.
“Namun susah hati benar Ketua Pemuda Pas ini, sampai minta UMNO belajar menerima Bersatu.
“Sekarang ni kita nak bagi tahu dia belajarlah hormati UMNO. Itu sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE










