KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan digesa menyediakan kuota bagi memastikan golongan veteran angkatan tentera boleh memiliki rumah mampu milik.
Dalam sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa, Salim Sharif (BN-Jempol) berkata, masih ramai veteran tentera yang tidak memiliki rumah walaupun sudah tidak lagi berkhidmat untuk negara.
“Bagi veteran tentera, adakah sebarang perancangan baru untuk membantu golongan tersebut memiliki rumah mampu milik?”
“Perkara ini berbangkit kerana terdapat veteran anggota tentera yang tidak mempunyai perumahan sendiri dan terpaksa menyewa walaupun telah tamat tempoh perkhidmatan.
“Saya mencadangkan supaya kementerian menetapkan kuota bagi golongan veteran tentera di setiap lokasi perumahan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
Beliau juga sempat menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah wujudkan jawatankuasa khas untuk menangani isu perumahan anggota tentera.
Setakat ini, blueprint perumahan 2.0 sudah dirangka matlamatnya untuk membina 28,000 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera sehingga tahun 2030 yang selesa dan kondusif.










