KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kerajaan yang didakwanya lewat menguruskan isu kenaikan harga barangan keperluan asas.
Dalam sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar mempersoal tindakan kerajaan yang dikatakannya hanya mengadakan mesyuarat pada 9 Disember ini bagi membincangkan isu kenaikan harga barangan tersebut sedangkan perkara itu berlaku sejak beberapa minggu lalu.
“Kata pantau sedangkan kerajaan tak payah pantau, harga cili di Kuching (Sarawak) RM36 dan semua orang tahu. Yang kita nak tahu apakah tindakan segera yang diambil? Menteri ada mesyuarat nanti tapi saya kata ia perlu dibincangkan oleh Jawatankuasa Kabinet kerana satu kementerian tidak mampu menyelesaikan perkara ini.
“Kenapa mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup baru nak diadakan pada 9 Disember nanti dan keduanya, bila Jawatankuasa Kabinet berkenaan akan bersidang kerana ia melibatkan banyak kementerian?
“Jawapan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu dia jawab mewakili kemnterian dia sahaja, belum melibatkan Kabinet. Ia tidak melibatkan menteri ekonomi dan kewangan,” katanya.
– YOUTUBE PARLIMEN MALAYSIA
Anwar kemudian menyindir golongan kartel yang dianggap sebagai punca masalah hampir semua isu.
“Saya minta supaya tindakan diambil tetapi menteri sebut ada banyak masalah, kononnya ada kartel dan monopoli. Jadi selesaikan la masalah itu. Kenapa tidak ambil tindakan? Mengapa tidak ada keupayaan, kekuatan dan kesediaan untuk mengambil tindakan?
“Kalau benar disebut tentang hal itu tentang kartel, menteri sepatutnya bertindak. Kartel memang masalah dalam semua hal tidak kira politik atau ekonomi,” katanya.
Dalam sesi yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan bahawa satu mesyuarat akan diadakan Khamis ini untuk membincangkan perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE