KUALA LUMPUR: Pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh sebagai pengarah bukan eksekutif bebas Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sepatutnya tidak menjadi isu kerana lantikan tersebut adalah berdasarkan merit.
Di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, anak kepada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil itu layak susulan daripada pengalaman beliau sebelum ini selain mempunyai kelulusan akademik luar negara.
“Pelantikan ini telah dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyambut baik perkara tersebut. Pelantikan itu adalah berdasarkan merit seseorang yang dilantik. Beliau adalah wanita muda yang berkelulusan tinggi, graduan daripada Imperial College Business School dan Universiti Harvard serta mempunyai trek rekod yang tersendiri.
“Beliau ketika ini dikaitkan dengan masalah yang dihadapi keluarganya. Saya rasa kita perlu bersikap adil. Kalau ibu bapa mengalami masalah, kita tidak mahu anak-anak kita dikenakan gangguan.
“Pelantikan beliau adalah berdasarkan merit dan beliau sepatutnya diberikan peluang. Jawatan beliau adalah jawatan bukan eksekutif jadi kementerian berkeyakinan beliau boleh memberikan sumbangan dan membawa suara wanita muda MDEC,” katanya ketika menjawab perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa itu.
Walaupun begitu, Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) berkata, Wan Izzana yang juga pengarah di Talent Corp. dan ahli panel pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) wajar digantikan dengan wanita lain yang lebih berkelayakan.
“Saya rasa dengan dua tanggungjawab yang berat ini, mampukah beliau menggalas tanggungjawab di MDEC walhal di luar sana ada graduan bukan sahaja daripada Harvard tetapi juga dari universiti tempatan yang pada saya lebih layak daripada wanita ini.
“Saya harap dengan beliau memegang jawatan di dua entiti yang lain, menteri boleh cadangkan semula kepada Kementerian Kewangan berbanding individu ini,” jelasnya.
Annuar kemudian berkata, beliau mengharapkan Kasthuriraani untuk mengangkat kedudukan dan membela wanita berbanding mempertikaikan perkara itu.
Membalas kenyataan itu, Kasthuriraani berkata, lantikan Wan Izzana telah menyebabkan wanita lain kehilangan peluang.
“Ini bukan isu wanita, tetapi ini isu kelayakan. Beliau menghindari wanita lain untuk mendapat tempat di MDEC,” katanya.