KUANTAN: Kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil tahun depan sebanyak RM1.036 bilion iaitu peningkatan RM236 juta atau 29.4 peratus berbanding anggaran tahun ini.
Ia dijangka diperoleh daripada hasil tanah RM643.71 juta, hasil perhutanan RM150.10 juta, hasil air RM19.41 juta, geran Kerajaan Pusat RM101.05 juta dan lain-lain hasil sebanyak RM122.09 juta.
Kutipan hasil negeri dijangka mengalami peningkatan melalui pelaksanaan yang lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil tanah.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun, bagi jumlah sebenar adalah bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada tahun depan.
“Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan Tahun 2022 menyediakan peruntukan berjumlah RM1.031 bilion bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap, Perbelanjaan lain dan aset.
“Anggaran perbelanjaan mengurus untuk tahun 2022 telah meningkat sebanyak RM235.57 juta ratau 29.61 peratus berbanding tahun ini.
“Oleh itu, anggaran Belanjawan Tahun 2022 menunjukkan lebihan atau surplus sebanyak RM5.79 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Negeri Pahang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan adalah sebanyak RM323.26 juta.
“Ia melibatkan projek infrastruktur sejumlah RM171.98 juta dengan pembiayaan cara langsung, manakala RM151.28 juta adalah daripada pinjaman bagi membiayai Projek Bekalan Air.
“Projek ini akan menyumbang sebanyak 46.80 peratus daripada keseluruhan peruntukan projek pembangunan. Ini menunjukkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan negeri dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dari segi bekalan air,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, anggaran perbelanjaan pembangunan untuk tahun 2022 meningkat sebanyak RM121.35 juta atau 60.10 peratus berbanding tahun ini.
Menurut beliau, belanjawan 2022 itu mengambil kira semua aspek dalam pemulihan pasca Covid-19.
“Belanjawan tahun 2022 turut memberi tumpuan kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan perbelanjaan mengurus dan pembangunan,” katanya. – UTUSAN ONLINE