GEORGETOWN: Penggunaan media sosial perlu dioptimumkan sepenuhnya oleh jentera parti UMNO dalam usaha menyebarluaskan pengaruh parti itu secara lebih positif kepada rakyat.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, dengan adanya pengaruh media sosial, rakyat dan pengundi khususnya boleh didekati dengan cara yang lebih berhemah dan bijaksana.
“Sambil itu, kita selit-selitkanlah penyampaian kebaikan parti kita (UMNO), janji-janji pembangunan yang boleh ditunaikan, parti yang memperjuangkan semua kaum, agama dan budaya.
“Pada masa sama, tunjukkan keikhlasan kita menerusi kepenggunaan media sosial yang lebih meyakinkan, kreatif serta mempunyai tarikan membina,” katanya.
Beliau berucap pada sidang perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bukit Gelugor di sini yang dirasmikan Ketua Bahagiannya, Datuk Omar Faudzar.
Menurut Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri, pendekatan penggunaan media sosial untuk berkempen itu telah dipraktikkan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas kempen secara fizikal tidak dibenarkan dan dihadkan dalam keadaan tertentu.
Justeru katanya, pendekatan lain yang perlu dipraktikkan ketika itu ialah membuat hantaran berbaur rayuan dan pujukan dalam usahan meraih undi serta simpati daripada pengundi menerusi penggunaan media sosial.
“Dalam hal ini, ramai yang menggayakan diri menerusi cara menyampaikan sesuatu, berkempen atau mengetengahkan sesuatu isu dan pandangan melalui rakaman video.
“Secara kreatif juga, ada yang melawak, ada yang menyajikan fakta serta tayangan video yang menarik dan ini semua perlu kita biasakan agar kandungan video itu lebih menarik lagi,” katanya.
Tambah Norliza, generasi muda kini tidak boleh dipaksa untuk menyokong UMNO dengan hujah mereka sepatutnya berterima kasih dan bersyukur kepada parti itu dan BN.
“Pendekatan tersebut mungkin boleh diguna pakai dahulu, tetapi bagi generasi sekarang terutama kelompok UNDI18 (pengundi muda), mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.
“Yang pasti, landskap politik tanah air amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas sama ada melalui media massa atau media baharu,” katanya.