Nenek seret motosikal 8 km elak diserbu orang awam selepas kemalangan - Utusan Malaysia

Nenek seret motosikal 8 km elak diserbu orang awam selepas kemalangan

KEADAAN kenderaan jenis pacuan empat roda yang terlibat kemalangan dan mengheret sebuah motosikal di Jalan Temenggong Ahmad ke Balai Polis Parit Jawa di Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Gara-gara ketakutan setelah melanggar sebuah motosikal yang tiba-tiba mengubah haluan, seorang warga emas bertindak memecut kenderaan pacuan empat rodanya sambil mengheret motosikal terbabit sejauh lapan kilometer.

Dalam kejadian pukul 1.45 tengah hari di Jalan Temenggong Ahmad, kelmarin, pemandu wanita berusia 73 tahun itu telah menimbulkan panik kepada pengguna jalan raya lain apabila enggan memberhentikan kenderaan.

Pacuan empat roda jenis Mitsubishi itu terus dipandu sambil mengheret motosikal jenis Yamaha yang sebelum itu ditunggang seorang lelaki berusia 59 tahun.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kemalangan terbabit berlaku apabila pemandu itu gagal mengelak motosikal di hadapannya yang secara tiba-tiba telah mengubah haluan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang telah mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan hingga menyebabkan pemandu Mitsubishi di belakang tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu merempuhnya.

“Dalam kejadian itu, mangsa telah tercampak dan pemandu wanita yang ketakutan enggan keluar daripada kenderaannya.

“Wanita berkenaan kemudian bertindak memecut kenderaannya untuk menuju ke Balai Polis Parit Jawa sambil mengheret motosikal mangsa sejauh lapan kilometer,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Zaharudin, penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, manakala keputusan ujian alkohol ke atas pemandu wanita tersebut adalah negatif.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Kita memohon semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelak insiden yang tidak diingini atau lebih buruk,” katanya.

Terdahulu, tindakan pemandu terbabit mengheret motosikal yang tersepit di bahagian tayar hadapannya dirakam pengguna jalan raya lain sehingga video berkenaan tular di media sosial.

Mereka mendakwa pemandu dan seorang penumpang dalam kenderaan terbabit cuba melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan itu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.