KULAI: MIC menaruh harapan agar parti itu diberi peluang bertanding di kerusi yang boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah bermula membabitkan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN), namun ia masih belum diputuskan.
“Kita memang ada berbincang supaya penyelarasan pembahagian kerusi dibuat awal supaya calon-calon dapat diberi masa untuk bekerja. Kita tidak mahu ini diputuskan saat akhir hingga menjadi perebutan.
“Paling mustahak bukanlah bilangan (kerusi), tapi kerusi yang boleh dimenangi. Kalau boleh kita mahukan kerusi ini supaya ada wakil, itu pentingnya perkongsian kuasa antara parti komponen.
“Jika pembahagian dibuat betul-betul mengikut majoriti, tidak ada kawasan India majoriti. Tapi, situasi kini sudah berubah kerana undi pengundi India juga penting setelah undi Melayu pecah kerana adanya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Kuil Sri Maha Saraswathy, Taman Putri, di sini hari ini.
Sementara itu, Vigneswaran berkata, MIC akan melancarkan Briged Pemuda dan Wanita yang berperanan menarik lebih ramai pengundi muda khususnya masyarakat India bernaung di bawah payung parti itu.
Kata beliau, briged yang akan dilancarkan esok turut menjadi platform untuk golongan muda berkongsi pandangan, pendapat serta meluahkan rintihan dan mendengar permintaan mereka.
Katanya, ini adalah pendekatan yang akan digunakan parti yang mewakili kaum India di negara ini dalam usaha membawa ramai pengundi muda seterusnya meningkatkan sokongan di peringkat akar umbi.
“Sebenarnya, inisiatif ini telah lama dicadangkan namun telah tertangguh hampir dua tahun disebabkan pandemik Covid-19. Briged ini bukan sahaja untuk tarik pengundi bahkan menangani masalah sosial seperti gangsterisme, penggunaan dadah, peluang pekerjaan dan sebagainya.
“Kita tidak meletakkan sasaran dan cuba dapatkan seramai mungkin. Kita mempunyai kira-kira seramai 20,000 ahli, jika seorang ahli boleh bawa tiga lagi individu untuk sertai briged ini, jumlah akan bertambah kepada kira-kira 60,000 ahli,” katanya.
Vigneswaran berkata, pelancaran briged berkenaan adalah selari dengan pelaksanaan usul penurunan had usia pengundi dan calon kepada 18 tahun yang sudah diluluskan di beberapa buah negeri seluruh negara.
Katanya, sasaran mereka ialah untuk menarik minat pengundi berbangsa India yang dianggarkan enam peratus daripada 5.6 juta pengundi muda dengan 1.2 juta daripadanya berusia 18 hingga 21 tahun.










