IPOH: Siasatan akan dijalankan pengurusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhubung satu video tular seorang lelaki terjun ke dalam tasik yang menjadi tumpuan pelancong, Tasik Cermin di sini semalam.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan menyiasat individu yang terlibat di dalam video tersebut.
“Setakat ini identiti individu tersebut masih dalam siasatan dan pihak MBI akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.
“Untuk makluman, kawasan Tasik Cermin ini di bawah pengurusan Geopark Kinta yang tidak boleh sewenang-wenangnya diceroboh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembukaan outlet baharu Chang Jiang White Coffee di Kompleks Bangunan Persisiran Sungai Kinta, Jalan Sultan Iskandar hari ini.
Menurut Rumaizi, pihak MBI akan melantik sebuah pasukan bagi memantau keadaan di tasik berkenaan.
“Tasik berkenaan perlu dipulihara kerana ia merupakan keindahan alam bagi kegunaan generasi akan datang,” katanya.
Semalam, satu video berdurasi 15 saat tular dalam aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan.
Netizen meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan lelaki itu kerana perbuatannya itu boleh menyebabkan kawasan rekreasi itu ditutup kepada pengunjung.
Sementara itu, terbaru, pemilik akaun TikTok yang menularkan video tersebut mendakwa bahawa lelaki yang terjun ke dalam tasik itu bukan warganegara tempatan.
Mada Mac 2020, Tasik Cermin ditutup kepada pengunjung atas faktor keselamatan. – UTUSAN ONLINE