Mana papa tidak pulang? - Utusan Malaysia

Mana papa tidak pulang?

ATIKAH ABDUL RAHMAN menunjukkan gambar Mohd. Faizal Hisyam Mat Taib yang mayatnya ditemukan berhampiran pokok paya bakau, dekat Jeti Tok Kuning, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Meskipun masih terkejut, Atikah Abd. Rahman, 31, reda dengan pemergian suaminya yang mayatnya ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi pelanggaran bot, berhampiran pokok paya bakau dari Jeti Tok Kuning di sini, kelmarin.

Mayat Mohd. Faizal Hisyam Mat Taib, 39, ditemukan selepas 34 jam terjatuh pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Terdahulu, bot dinaikinya bersama Abdul Rashid Md. Derus, 43, berlanggar secara berdepan dengan sebuah bot fiber yang dalam perjalanan dari muara Sungai Kuala Perlis ke jeti tersebut, kira-kira pukul 10 malam.

Pelanggaran tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa yang difahamkan baru sahaja selesai melakukan kerja-kerja menunda bot ke bengkel berhampiran, tercampak ke dalam sungai.

Kira-kira lapan jam selepas penemuan mayat pertama, mayat Abdul Rashid pula ditemukan di kawasan denai Pengkalan Asam di sini, iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi pelanggaran.

Atikah berkata, dia akan berusaha menjaga kedua-dua anak mereka yang berusia 10 dan empat tahun dengan baik setelah secara tiba-tiba terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Kata suri rumah itu, anak-anak terutama yang bongsu asyik bertanyakan tentang bapa yang tidak pulang sejak kelmarin.

“Semasa mayat suami ditemukan, kami memang tidak dapat menahan kesedihan namun saya terpaksa reda dengan ketentuan ini kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi.

“Sudah tentulah mereka (anak-anak) rindu kerana tidak dapat jumpa papa mereka sejak dia keluar dari rumah pada malam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia..

Tambah Atikah, dia bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan banyak memberi sokongan untuk terus tabah.

“Buat masa ini, saya belum fikir lagi bagaimana untuk menyara anak-anak dan mahu memberi tumpuan untuk selesaikan urusan suami dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN