Malaysia sedia jadi wadah manhaj al-Azhar - Utusan Malaysia

Malaysia sedia jadi wadah manhaj al-Azhar

ZULKIFLI Mohamad al-Bakri ketika menyertai mesyuarat Majlis Hukama’ Al-Muslimin di Abu Dhabi, UAE semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan agamawan di Malaysia bersedia menjadikan negara ini sebagai model wadah manhaj al-Azhar yang akan giat mempromosikan sifat toleransi antara agama.

Demikian kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi hantaran terbaharu dalam akaun sosial beliau semalam.

“Insya-Allah, Majlis Hukama’ Al-Muslimin Malaysia sentiasa bersedia untuk menjadi wadah dalam penyebaran kefahaman Islam dan mempromosikan keamanan di Malaysia,” katanya ketika menyertai mesyuarat ahli majlis itu yang berpusat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara bersemuka selepas lebih setahun tiada ekoran isu Covid-19.

Majlis itu ditubuhkan ketika Ramadan pada 2014 lalu bagi menggalakkan keamanan dalam kalangan umat Islam seluruh dunia berasaskan kaedah dipelopori Universiti Al-Azhar di Mesir.

Institusi pendidikan tinggi terulung Islam ditubuhkan pada tahun 970 oleh kerajaan Fatimiyah itu ketika ini dipimpin oleh Syeikh Dr. Ahmad Muhammad al-Tayib yang juga pengerusi majlis itu.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, mesyuarat berlangsung lebih dua jam berkenaan menyentuh pelbagai isu semasa dunia Islam termasuk keperluan penglibatan Majlis Hukama’ Al-Muslimin.

“Ini merangkumi usaha mempromosikan manhaj atau kaedah Al-Azhar yang meliputi elemen penghayatan sifat kesederhanaan dan amalan toleransi antara pelbagai agama. Justeru sebagai menyahut saranan daripada Syeikh Al-Azhar tersebut, penubuhan cawangan Majlis Hukama’ Al-Muslimin akan diperbanyakkan lagi di seluruh dunia selepas ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Abdullah Bayyah serta sebilangan anggota Lembaga Eksekutif Majlis Hukama’ Al-Muslimin, antaranya ialah Syeikh Prof. Dr. Hasan el-Shafei, Prof. Dr. Muhammad Quraish Shihab, Syeikh Ali Al-Ameen, Syeikh Abdul Rahman Mohamed Al-Khalifa dan Prof. Dr. Koutoubou.

Zulkifli dilantik sebagai anggota majlis berkenaan oleh Ahmad al-Tayyib pada 19 Ogos tahun lalu, sekali gus muncul sebagai warga Malaysia yang pertama menyertai kumpulan tersebut dan ia merupakan institusi antarabangsa yang menghimpunkan ulama, sarjana dan cendekiawan dikenali dengan pendekatan berhikmah, cakna keadilan, kebebasan dan kesederhanaan.

Beliau tiba di ibu kota UAE itu kelmarin serta disambut Ketua Setiausaha Majlis Tertinggi Human Fraternity dan bekas penasihat undang-undang Syeikh Al-Azhar, Mohamed Abdel-Salam.

Terdahulu, beliau menghadiri Persidangan Kumpulan Wawasan Strategik Dunia Islam – Rusia di Jeddah, Arab Saudi pada 24 November lalu yang dianggotai oleh 33 tokoh Muslim sejagat.

Ini penampilan julung kali beliau di peringkat antarabangsa setelah tidak memegang jawatan Kabinet sejak akhir Ogos lalu dalam persidangan yang melibatkan 27 buah negara tersebut dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menghadiri program tersebut atas pelawaan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Farhan Al Saud dan Pengerusi Kumpulan berkenaan, Rustam Minnikhanov.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya