Malaysia bangkit isu anti minyak sawit dalam Mesyuarat ASEAN-G7 - Utusan Malaysia

Malaysia bangkit isu anti minyak sawit dalam Mesyuarat ASEAN-G7

SAIFUDDIN Abdullah mewakili Malaysia ketika berucap julung kali pada Mesyuarat ASEAN-G7 yang diadakan secara hibrid semalam. – WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia membangkitkan isu kempen antiminyak sawit dalam sesi julung kali Mesyuarat ASEAN dengan tujuh buah negara ekonomi termaju atau G7 secara hibrid semalam.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengetuai delegasi Malaysia menyentuh isu gerakan itu agak bertentangan amalan perdagangan bebas dicanangkan Barat selama ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau dalam hal ini menyatakan Malaysia melihat siri kempen dan resolusi terbabit sebagai merosakkan hubungan perdagangan sejagat.

Mesyuarat kali pertama itu melibatkan semua Menteri Luar dan Pembangunan G7 bersama-sama ASEAN dengan membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama serantau dan global.

G7 ditubuh pada 1973 turut dianggotai Kesatuan Eropah dengan ketika ini dipengerusikan Britain manakala ahlinya termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Perancis, Jerman dan Itali.

Secara kebetulan, kesemua negara G7 merupakan Rakan Dialog ASEAN apabila Britain mula diterima sebagai anggota paling baharu blok rantau Asia Tenggara itu pada awal tahun ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengambil peluang mesyuarat itu bagi menyatakan tindakan beberapa negara G7 yang mengharamkan minyak sawit bercanggah prinsip perdagangan bebas.

“Malaysia bahkan mengekalkan 55.3 peratus kawasan daratannya di bawah litupan hutan rimba, melebihi sasaran oleh Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992 lalu. Justeru, kita menzahirkan komitmen Malaysia terhadap kerjasama pelbagai hala yang meningkatkan liberalisasi di samping sejajar misi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sendiri.

“Sehubungan itu isu perladangan kelapa sawit yang konon mengakibatkan berlaku penebangan hutan tidak timbul kerana Malaysia amat bertanggungjawab dalam isu alam sekitar. Situasi ini terbukti melalui pelaksanaan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Perjanjian Paris 2016 disokong Malaysia menerusi ASEAN,” katanya.

Saifuddin juga mengulangi pendirian Malaysia dalam krisis politik Myanmar dan menzahirkan penghargaan atas sokongan G7 terhadap usaha ASEAN menjayakan lima perkara digariskan selain menyatakan ketetapan negara dalam isu pertikaian Laut China Selatan serta kerjasama ekonomi digital sebagai pemacu pemulihan pasca pandemik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN