Mahu pemandu mabuk dihukum lebih berat - Utusan Malaysia

Mahu pemandu mabuk dihukum lebih berat

NORIZAN Mat Isa (duduk) dan Mohamad Farhan (baju putih) melihat Nurul A'liah dan Sofia Umaira (duduk) di rumah mereka di Taman Malim Indah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemandu kereta berusia 42 tahun yang terlibat dalam kemalangan dua buah kereta dan tiga motosikal di Jalan Klebang pada 28 November lalu sehingga meragut nyawa seorang lelaki dan tiga anaknya cedera, wajar dikenakan hukuman berat.

Mohamad Farhan, 25, anak sulung Allahyarham Abdul Rahim Mohamad, 53, yang maut di tempat kejadian mendakwa, kematian bapanya disebabkan kecuaian pemandu kereta Nissan Teana yang dipercayai mabuk, memandu laju hingga hilang kawalan lalu melanggar kereta Proton Wira yang mangsa serta tiga adiknya yang berada dalam kenderaan tersebut.

Katanya, pemandu kereta itu yang juga seorang ahli perniagaan sewajarnya menerima hukuman berat kerana dia bukan sahaja kehilangan bapanya malah seorang daripada tiga adiknya mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.

“Saya minta pihak berkuasa mengenakan hukuman paling berat ke atas lelaki itu. Disebabkan kecuaiannya saya kehilangan orang paling saya sayang dan paling menyedihkan, penderitaan tiga adik saya akibat kecederaan teruk dialami mereka.

“Saya sampai di tempat kejadian sebelum polis dan bomba tiba apabila Sofia Umaira duduk di sebelah ayah menghubungi memberitahu ayah kemalangan. Bila saya sampai pilu hati melihat keadaan kereta remuk.

“Lebih pilu melihat ayah pula tersepit, tiga adik saya yang masih sedar menjerit-jerit kesakitan. Bayangkan apa perasaan saya ketika itu, sedih dan pilu,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Malim Indah semalam.

Bekas isteri arwah, Norizan Mat Isa, 42, juga mahu pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal ke atas pemandu terbabit.

Mengulas lanjut , Mohamad Farhan berkata, adiknya, Wardah, 20, mengalami kecederaan teruk iaitu patah tulang hidung dan paha kanan serta berlaku pendarahan di kepala masih dirawat di Hospital Melaka.

Menurutnya, dua adiknya, Sofia, 11, patah siku kanan manakala Nurul A’liah, 13, mengalami kecederaan usus, dahi tertusuk besi tajam hampir mengenai bahagian otak dan patah tulang pipi sebelah kiri.

“Nurul A’Liah kata doktor yang merawatnya mungkin akan mengalami kecacatan kekal di wajahnya. Sedih saya terima ketentuan ini. Kedua-dua mereka telah dibenarkan keluar dari hospital kini berada di rumah,” ujarnya.

Paling memilukan kata Farhan lagi, Wardah yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan Mac tahun depan mungkin majlis tersebut terpaksa ditangguhkan ekoran kecederaan yang dialami untuk pulih memakan masa. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN