KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini menolak saman fitnah difailkan Kerajaan Sarawak terhadap Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh mengenai isu Cukai Jualan Negeri (SST) melibatkan Petronas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin membuat keputusan itu selepas mendapati, bukti dalam perbicaraan jelas menunjukkan bahawa pembuat keputusan dalam rundingan dengan Petronas bukan seluruh kerajaan negeri tetapi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melalui Pejabat Ketua Menteri Sarawak.
Justeru katanya, tiada locus standi dalam kes tersebut dan pihak yang terkesan dengan kata-kata fitnah daripada pihak defendan adalah MMKN dan bukan seluruh kerajaan negeri Sarawak (plaintif).
“Oleh itu, mahkamah menolak writ saman serta pernyataan tuntutan plaintif dengan kos RM30,000 tertakluk kepada pentaksir,” katanya.
Kerajaan Negeri Sarawak memfailkan saman terhadap Soon Koh menuntut ganti rugi RM5 juta kerana mendakwa beliau telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Mei lalu mengenai perjanjian bersama yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petronas pada 9 Mei 2020.
Bekas Menteri Kewangan II itu mempersoalkan bayaran RM2 bilion oleh Petronas kepada kerajaan negeri sedangkan ketua menteri ketika membentangkan bajet negeri mengatakan Petronas harus membayar RM3.8 bilion.
Soon Koh turut mempersoalkan tindakan kerajaan memperakui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 berbanding dengan pendirian sebelum ini, yang memberi kuasa kepada Petronas dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas di seluruh negara termasuk di Sarawak.
Soon Koh yang juga penyandang kerusi Bawang Assan enam penggal dan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 18 Disember ini, dilaporkan berada di Sibu ketika ini dan tidak hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan kes tersebut hari ini, namun, beliau diwakili peguamnya George Lo, Jonathan Tay, Clement Wong, Thien Siaw Lien dan Yvonne Sia.
Sementara itu Penasihat Undang-Undang Sarawak Datuk Seri JC Fong; Pegawai Undang-undang Negeri, Mohamad Adzrul Adzlan, Oliver Chua dan Anisa Fadhillah Mohamed Jamel hadir mewakili kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, dalam penghakimannya, Chin berkata, beliau sudah berkali-kali menasihati kedua-dua pihak menyelesaikan pertikaian itu menggunakan saluran politik dan bukan melalui mahkamah.
“Kes ini berakhir selepas perbicaraan selama 10 hari dengan memanggil tujuh saksi plaintif dan tiga saksi defendan yang ternyata telah menghabiskan wang serta masa kedua-dua pihak, selain mahkamah ini.
“(Wang dan masa ini) sepatutnya digunakan untuk memberikan khidmat kepada pengundi dalam usaha meningkatkan rasa legitimasi kerajaan negeri di mata rakyat Sarawak,” katanya.