Lelaki tular maki hamun polis sudah ditahan dan dituduh di mahkamah  - Utusan Malaysia

Lelaki tular maki hamun polis sudah ditahan dan dituduh di mahkamah 

TANGKAP layar rakaman video suspek memaki hamun dan memarahi polis tular di aplikasi TikTok yang berlaku di di Taman Dengkil Jaya, Dengkil, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis mengesahkan seorang lelaki yang dilihat memaki hamun dan memarahi polis menerusi rakaman video tular baru-baru ini sudah ditahan polis dan dituduh di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan perkara itu termasuk kesahihan video yang tular itu.

Menurutnya, siasatan mendapati, lelaki yang mempunyai empat rekod berkaitan dadah dan satu rekod jenayah lampau itu ditahan selepas memecahkan cermin kereta jirannya dalam kejadian pada Ahad lalu.

“Lelaki berusia 40 tahun itu dituduh di Mahkamah Majistret Sepang di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah khianat.

“Menerusi pengakuan awal di mahkamah, suspek mengaku bersalah memecahkan cermin kereta jirannya dengan menggunakan lesung batu. Kes berkenaan akan disebut semula pada 12 Januari depan,” katanya.

Katanya, kejadian itu dikesan berlaku kira-kira pukul 7.39 pagi Ahad lalu di Taman Dengkil Jaya, Dengkil dan suspek kemudian ditahan kira-kira pukul 2.35 petang pada Isnin lalu.

Wan Kamarul berkata, turut ditahan bersama suspek adalah seketul lesung batu yang digunakan untuk memecahkan cermin belakang kereta jenis Perodua Axia itu.

“Kami berjaya mengesan kejadian itu selepas meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang jiran mangsa.

“Menurut saksi yang juga pemilik kereta, dia tidak pernah berselisih faham dengan suspek dan tidak mengetahui motif suspek melakukan perkara itu,” katanya.

Katanya, berdasarkan CCTV sama, suspek juga dilihat turut menendang kenderaan mangsa.

Beberapa video suspek memaki hamun dan memarahi polis tular di aplikasi TikTok sejak beberapa hari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN