KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan Sabah akan menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan 600 anggota puak pemisah dari selatan Filipina akan menyerang negeri ini.
Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai dakwaan tersebut sebelum ini dan pasukan risikan ESSCOM juga cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
“Kita masih cuba mengesahkan dakwaan ini daripada rakan sejawat di negara jiran,” katanya ketika dihubungi.
Walau bagaimanapun, kawalan dan rondaan di kawasan sempadan negeri Sabah akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Setakat ini, tiada pergerakan tidak normal dikesan di perairan negeri ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah mengesahkan laporan akhbar mengenai serangan anggota puak pemisah Filipina itu tidak benar.
Semalam, sebuah akhbar tempatan memetik sumber akhbar luar negara daripada Hong Kong, China yang menyatakan 600 anggota puak pemisah dari selatan negara jiran akan menyerang Sabah.
Akhbar tersebut melaporkan perkara itu dirancang setelah beberapa siri pertemuan yang dihadiri 19 datuk bandar yang diadakan di Filipina.
“Bagaimanapum hanya seramai 11 datuk bandar dari wilayah selatan negara itu yang sudah bersetuju untuk merekrut paling kurang 600 anggota bersenjata,” kata portal berkenaan. -UTUSAN ONLINE