MUAR: Dua pelajar ditahan polis selepas dipercayai membuli seorang pelajar ‘junior’ sehingga mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, suspek masing-masing berusia 16 tahun itu ditahan di Johor Bahru dan Kuala Sungai Baru, Melaka baru-baru ini.
“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan petang semalam berhubung kejadian buli terhadap mangsa yang berusia 14 tahun. Mangsa mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri.
“Hasil siasatan mendapati telah dibuli kumpulan ‘senior’ berkenaan pada 9 Disember lalu di sebuah sekolah menengah dalam daerah ini sehingga mangsa terpaksa menerima rawatan di hospital.
“Siasatan lanjut kemudian mendapati kejadian berpunca daripada beberapa pelajar ‘senior’ yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakan-rakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, polis juga sedang mengesan suspek-suspek lain yang disyaki terlibat dengan perbuatan itu.
“Usaha mengesan suspek lain yang terlibat masih giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang mana jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Polis Daerah Muar memandang serius terhadap kes-kes jenayah melibatkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” katanya. – UTUSAN ONLINE