Kluster PRN Pulau Gadong meningkat 137 orang - Utusan Malaysia

Kluster PRN Pulau Gadong meningkat 137 orang

MUHAMAD AKMAL Saleh bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jumlah kes positif Kluster Pulau Gadong yang berpunca berikutan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu meningkat daripada 41 kepada 137 orang pelajar dan guru, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu diperoleh hasil saringan terhadap 224 pelajar dan guru.

Jelasnya, seramai 137 disahkan positif, manakala baki 87 negatif, namun telah menjalani tempoh kuarantin sejak 25 November lalu.

“Hari ini kita telah dapat jumlah secara keseluruhan pelajar dan guru yang telah disaring iaitu seramai 224 orang.

“Daripada jumlah itu seramai 137 disahkan positif dan 87 negatif. Mereka yang negatif juga telah menjalani tempoh kuarantin bermula 25 November lalu,” katanya ketika ditemui di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, risiko penularan wabak itu bagaimanapun adalah rendah memandangkan kesemua pelajar dan guru madrasah terbabit berada dalam radius kawasan berkenaan.

“Dia (Covid-19) tidak akan tersebar dalam komuniti dan tamat kuarantin pada 14 Disember ini, kalau ada kes baharu tempoh kuarantin mereka akan dilanjutkan 10 hari lagi.

“Alhamdulillah saya telah pergi ke madrasah berkenaan dan mereka semua berada dalam keadaan sihat di bawah kategori satu dan dua,” katanya.

Tambahnya, ada segelintir menjalani tempoh kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh dan telah dibenarkan pulang.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Melaka merekodkan satu kluster baharu berpunca daripada PRN lalu apabila indeks kes merupakan seorang tenaga pengajar di dua buah madrasah yang terlibat sebagai jentera parti politik.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, tempoh pembukaan PKRC MITC akan dilanjutkan sehingga Jun tahun hadapan sebagai persiapan menghadapi risiko varian baharu.

“Ia bukan disebabkan kenaikan kes tetapi langkah berjaga-jaga jika ada gelombang baharu membabitkan varian lain. Jika dalam masa enam bulan kita melihat kadar peningkatan tidak begitu banyak, kita akan pindah ke tempat lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.