Kg. Batu Puteh dinobat Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia - Utusan Malaysia

Kg. Batu Puteh dinobat Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia

NANCY Shukri dan Abdul Sanih Nasri menerima anugerah Perkampungan Pelancongan Terbaik daripada Zurab Pololikashvili. – IHSAN MOTAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia terus melakar sejarah di peringkat antarabangsa apabila Kampung Batu Puteh di Sabah dinobatkan sebagai Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, anugerah itu diperoleh ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) Ke-24 di Madrid, Sepanyol semalam.

Anugerah tersebut disampaikan sendiri Setiausaha Agung UNWTO, Zurab Pololikashvili kepada Pengerusi Koperasi Ekopelancongan Komuniti Batu Puteh, Abdul Sanih Nasri yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. 

Perkampungan berkenaan terletak dalam Mukim Batu Puteh, Daerah Kinabatangan, Bahagian Sandakan, merupakan perkampungan berusia paling tua di mukim itu yang mula diterokai pada 1956 dan diasaskan Imam Yusof Mariwa bersama-sama sanak saudara terdekat.

Nama unik kampung dihuni majoriti etnik Sungei itu diperoleh daripada sebongkah batu besar berwarna putih yang terletak di tebing Sungai Kinabatangan, 600 meter dari desa tersebut.

“Kejayaan kampung ini disumbangkan hasil usaha gigih pihak koperasinya yang terdiri daripada lebih 300 ahli meliputi penduduk desa, nelayan dan petani. Ia turut dicapai dengan usaha sama pengusaha Miso Walai Homestay yang pernah menjuarai inap desa terbaik tempatan melalui Model Pelancongan dan Komuniti Lestari Ekologi.

“Koperasi tersebut juga memainkan peranan penting kepada anggotanya dengan mewujudkan peluang pekerjaan berasaskan ekopelancongan dan memberi kehidupan desa lebih mapan, selain aktif dalam aktiviti pemuliharaan alam, serta menawarkan pembiayaan mikro menerusi sumbangan derma dan peluang latihan kepada komuniti perkampungan,” jelas kementerian itu.

Nancy dalam ucapan penghargaannya berkata, kampung tersebut menjadi model kisah kejayaan pelancongan ekologi luar bandar yang bertanggungjawab dan ramah mesra penduduknya sekali gus merangsang kepimpinan kampung terus berusaha memajukan potensi dimiliki kawasan kepada dunia luar.

“Bagi Malaysia, krisis pandemik Covid-19 membuka peluang berdikari memajukan desa dan saya percaya, inilah masa terbaik kita menyerlahkan aset budaya warisan tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya