Kes Omicron di Malaysia: Tiada kes positif mendadak di Ipoh - Utusan Malaysia

Kes Omicron di Malaysia: Tiada kes positif mendadak di Ipoh

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjalankan pengesanan kontak rapat kepada kes pertama varian Omicron yang dikesan di Malaysia melibatkan semua penumpang bas dan pemandu yang dinaiki kes berkenaan dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Ipoh, Perak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia melibatkan seramai lima orang dan kesemuanya menjalani saringan ujian Covid-19 dan kuarantin wajib dengan ujian sampel pertama dan kedua disahkan negatif.

“Kita telah melaksanakan pengesanan kontak mendalam terhadap kes ini termasuk mereka yang ada di dalam pesawat dan kawasan sama dikunjungi kes di KLIA. Siasatan masih diteruskan untuk pastikan tiada jangkitan seterusnya pada orang lain. 

“Walaupun wujud kes varian Omicron ini, tidak ada peningkatan mendadak kes Covid-19 di Ipoh atau mana-mana tempat yang telah dihadiri kes tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Khairy memaklumkan, kes pertama positif varian Omicron itu melibatkan seorang pengembara wanita bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba di Malaysia pada 19 November lalu. 

Katanya, individu tersebut merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura.

Beliau menjelaskan, kes menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa KLIA dan kes diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel ujian saringan dengan CT Value 26.68 pada 20 November. Kes diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Susulan itu, kes menjalani kuarantin wajib 10 hari di penginapan (apartment) disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya.

Beliau berkata, kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, dia patuh kepada perintah yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pelajar tersebut telah melengkapkan dua dos vaksin Pfizer di Malaysia pada 29 September lalu sebelum pulang ke Afrika Selatan untuk melawat keluarganya di sana. 

Sepanjang tempoh kuarantin, kata Khairy, dia tidak mengalami sebarang gejala, malah menjalankan kuarantin di rumah berseorangan dan tidak ke mana-mana dan dua lagi rakan serumahnya diminta tinggal di rumah lain sekali gus kes tidak bercampur dengan sesiapa.

“Kes tersebut tamat kuarantin pada 29 November serta dipotong gelang oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.

“Berikutan itu, katanya, Kementerian Kesihatan memanggil semula lapan kontak rapat termasuk kes tersebut untuk menjalani ujian saringan sekali lagi hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kes pertama yang dikesan ini adalah sebelum pengumuman oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung varian baharu tersebut pada 24 November.

“IMR menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 74 sampel positif Covid-19 yang dikesan di KLIA dari tempoh 11 November hingga 28 November. Ujian PCR Genotyping Assay dijalankan bagi mendapatkan keputusan awal jenis varian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.