Kes bankrap catat kadar penurunan - Utusan Malaysia

Kes bankrap catat kadar penurunan

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sebanyak 11,207 kes kebankrapan direkodkan dari bulan Mac 2020 hingga ke Oktober tahun ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,344 kes didaftarkan pada bulan Mac hingga Disember 2020 dan 4,863 kes direkodkan pada bulan Januari hingga Oktober 2021.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia menunjukkan penurunan bilangan kes  kebankrapan yang didaftarkan pada setiap tahun berbanding empat tahun ke belakang.

“Ini boleh dilihat apabila sebanyak 18,227 kes didaftarkan pada tahun 2017, 16,482 kes pada tahun 2018, 12,051 kes pada tahun 2019 dan pada tahun 2020 sebanyak 8,351 kes.

“Antara faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam penurunan kes-kes kebankrapan semasa pandemik Covid-19 adalah moratorium oleh kerajaan, pengoperasian mahkamah hanya bagi kes jenayah sahaja secara fizikal, perubahan ambang keberhutangan bagi kes kebankrapan yang telah ditingkatkan ke RM100,000 bermula 23 Oktober 2020 

“Faktor lain adalah tindakan kebankrapan telah berlaku dalam tempoh enam bulan sebelum pemfailan Petisyen Kebankrapan iaitu hutang telah sedia tertunggak sebelum pendemik Covid-19.” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mereka yang diisytihar bankrap kebanyakannya berpunca daripada pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan.

Jelas Wan Junaidi lagi, tidak dinafikan masyarakat terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun ada yang terpengaruh dengan trend terkini yang menyebabkan perbelanjaan di luar kemampuan.

Berikutan itu, jabatan berkenaan telah menjalankan beberapa inisiatif, antaranya penambahbaikan dan penerbitan semula buku Rujukan Pantas Insolvensi yang dilancarkan pada hari ini sempena Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Buku ini telah dibangunkan dengan mengambil kira analisis, persoalan pemegang taruh dan pelanggan, pindaan kepada kerangka perundangan terkini, serta tinjauan dan kajian sebagai kelangsungan kepada usaha-usaha Jabatan Insolvensi Malaysia agar penghutang, pemiutang dan pihak-pihak berkepentingan dapat memanfaatkan perundangan insolvensi sebagai penyelesaian yang efisien, cepat dan adil berhubung masalah keberhutangan,” ujarnya lagi.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN