Kerana teguran, dua lelaki nyaris putus tangan ditetak - Utusan Malaysia

Kerana teguran, dua lelaki nyaris putus tangan ditetak

KAMARUL Azran Wan Yusof (dua kanan) menunjukkan peta lokasi jalan raya yang dikenakan Operasi Khas Op Roda di Balai Polis Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Hanya kerana menegur seorang lelaki yang menendang keretanya sendiri, dua lelaki nyaris putus tangan dan telinga akibat ditetak dalam kejadian tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari di tempat letak motosikal Flat Taman Permata, Dengkil itu, kedua-dua mangsa berusia 24 tahun dan 41 tahun cedera akibat diserang suspek menggunakan sebilah parang.

Difahamkan, kira-kira pukul 7.40 pagi sebelum kejadian, suspek berusia 28 tahun ‘naik angin’ selepas kedua-dua mangsa menegurnya kerana menendang keretanya sendiri.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, akibat teguran itu, berlaku perang mulut antara mangsa dan suspek.

Beliau berkata, selepas kedua-dua mangsa pulang setelah selesai bekerja kira-kira pukul 12 tengah hari, suspek tiba-tiba menyerang mangsa dengan sebilah parang ketika berada di tempat letak motosikal.

“Mangsa yang juga pemandu lori syarikat pembersihan mengalami kecederaan parah di tangan dan telinga akibat ditetak. Mangsa berusia 24 tahun cedera parah di tangan kanan manakala mangsa berusia 41 tahun pula hampir putus telinga kiri akibat dilibas perang.

“Suspek kemudian bertindak melarikan diri dan ditahan berhampiran KIP Mall Kota Warisan Bandar Baru Salak Tinggi kira-kira pukul 11.30 malam,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Roda di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapat rawatan.

Wan Kamarul Azran berkata, semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah iaitu Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan reman seminggu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, Wan Kamarul Azran berkata, Ops Roda selama empat hari bermula hari ini membabitkan 64 anggota di sembilan lokasi sekitar Cyberjaya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya