Kerajaan tidak lepas tangan isu kenaikan harga barangan - Utusan Malaysia

Kerajaan tidak lepas tangan isu kenaikan harga barangan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan kerajaan tidak bertanggungjawab dalam menangani isu kenaikan harga barangan dan sentiasa mengambil tanggungjawab memastikan tindakan sewajarnya dilakukan supaya rakyat tidak terbeban.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak akan berlepas tangan dengan mengatakan bahawa ini adalah luar kawalan.

Katanya, sebagai kerajaan pihaknya mesti bertanggungjawab memastikan tindakan sewajarnya diambil supaya rakyat tidak dibebankan.

“Saya dah umumkan sewaktu Majlis Makan Malam Persatuan Peladang Kebangsaan (Nafas), kerajaan memperuntukkan RM262 juta untuk membantu iaitu RM62 juta untuk insentif racun. Kalau dulu petani diberi RM200 sebagai insentif, sekarang ini kita tambah RM100 lagi menjadi RM300.

“Kerajaan telah meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta tanpa faedah dan moratorium selama enam bulan.

“Kos tambahan yang ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM262 juta supaya alasan harga perlu dinaikkan kerana kos pengeluaran meningkat disebabkan harga racun tinggi tidak boleh lagi digunakan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, satu video berdurasi 15 saat yang memetik potongan ucapan beliau dalam satu majlis telah diedit untuk dimanipulasi oleh pihak tertentu.

“Disebar mengatakan kerajaan tidak mahu jawab apa masalah petani itu, itu tidak betul. Video itu diedit untuk tujuan manipulasi. Kerajaan tidak akan berlepas tangan dengan mengatakan bahawa ini adalah luar kawalan,” katanya.

Ismail Sabri mengulas satu video berdurasi 15 saat yang memetik potongan ucapan beliau dalam satu majlis makan malam tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu dengan mendakwa kerajaan pimpinannya tidak bertanggungjawab terhadap isu kenaikan harga barangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN