Kerajaan pertimbang tiga langkah transformasi pembangunan air  - Utusan Malaysia

Kerajaan pertimbang tiga langkah transformasi pembangunan air 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju  mempertimbang tiga langkah untuk dilaksanakan dalam usaha mentransformasi dan menetapkan dasar hala tuju serta pendekatan berhubung pengurusan pembangunan air negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara langkah yang bakal dipertimbang ialah pewartaan rizab tanah kerajaan untuk pengekalan kolam takungan banjir dan rizab sungai.

Katanya, cadangan tersebut bertujuan memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan memulihara alam sekitar.

“Kepesatan proses perbandaran di negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat. Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir. 

“Selain itu, kerajaan bercadang mewujudkan aras lindung selamat reka bentuk infrastruktur pantai akibat kesan perubahan iklim dan kenaikan aras laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021 secara maya yang turut dihadiri Menteri Kabinet, Menteri Besar dan ketua-ketua agensi berkaitan.

Tambah Ismail Sabri, fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku bakal menyebabkan kejadian seperti  banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan ribut sehingga berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai. 

“Justeru tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambil kira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan serta pembinaan supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosioekonomi dan pembangunan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama dan pelaksanaan inisiatif air pulih guna antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. dengan syarikat operator air negeri juga akan diwujudkan.

“Inisiatif air pulih guna ini bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep Ekonomi Kitaran (Circular Economy) dalam menguruskan sumber air negara. 

“Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan syarikat operator air,” ujarnya.

Menurut beliau, MAN 2021 juga  mengambil maklum dua kertas makluman, iaitu Pembahagian Tanggungjawab Antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi Lain Terhadap Sistem Saliran serta Garis Panduan Pembinaan Telaga Tiub untuk Tujuan Eksplorasi, Pemantauan dan Pengeluaran dalam Penggunaan Sumber Air Bawah Tanah. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya