Kepimpinan Bersatu Sarawak sambut baik keputusan Ali Biju - Utusan Malaysia

Kepimpinan Bersatu Sarawak sambut baik keputusan Ali Biju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kepimpinan Bersatu Sarawak menyambut baik keputusan Datuk Ali Biju yang menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, keputusan berkenaan walaupun mungkin agak sukar bagi beliau tetapi membuktikan dirinya berjiwa besar dan satu tindakan yang dipandang tinggi oleh presiden Parti Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Bersatu Sarawak yang amat menghargai keputusan dan pengorbanan yang dilakukan Ali.

“Pada kesempatan ini saya ingin memaklumkan keputusan yang beliau ambil ini adalah selaras dengan keputusan presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu yang membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini demi kestabilan politik dan semangat setiakawan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya juga juga ingin mengucapkan rasa syukur akan pengorbanan beliau ini adalah berdasarkan persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara Perikatan Nasional (PN) dan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku pengerusi GPS dan oleh itu tindakan beliau ini membuktikan beliau mengutamakan parti demi meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Jaziri berkata, beliau amat menyanjungi semangat, iltizam dan komitmen Ali yang berkorban demi masa depan rakyat Sarawak dan menambah tindakan beliau itu wajar dijadikan teladan oleh semua ahli politik kerana keberanian bertindak adalah demi kestabilan politik dan perjuangan yang lebih besar untuk rakyat Sarawak.

Katanya, prinsip dan keluhuran beliau itu perlu dijadikan tunjang perjuangan dalam membentuk kejayaan Bersatu Sarawak amnya dan politik Sarawak khasnya dan semua pihak perlu mencontohi pengorbanan dan keikhlasan beliau demi rakyat Sarawak.

Dengan keputusan Ali Biju itu, katanya adalah jelas beliau bersama dengan Bersatu Sarawak kekal teguh dan tidak berbelah bagi menyokong kepimpinan ketua menteri yang juga pengerusi dalam memastikan kemenangan besar pada PRN yang sedang berlangsung.

Jaziri berkata, Bersatu Sarawak juga kekal konsisten dalam menyatakan pendirian dan sokongan terhadap kerajaan negeri Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari yang telah berjaya mengekalkan pembangunan dan keamanan kepada seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira agama, kaum dan keturunan.

Beliau berharap GPS di bawah kepimpinan Abang Johari dapat diberi mandat sekali lagi dalam PRN- 12 ini untuk menabur bakti di bumi Sarawak, sekali gus dapat meneruskan kesinambungan kepesatan pembangunan yang berjaya dilaksanakan selama ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya