Kemudahan internet dipertingkat di PPR, penuhi Indeks Daya Huni - Utusan Malaysia

Kemudahan internet dipertingkat di PPR, penuhi Indeks Daya Huni

REEZAL Merican Naina Merican melihat Muhammad Eiman Rafiqi Suhaimi, 9, menggunakan akses dan rangkaian internet secara percuma selepas Majlis Pelancaran Jendela@PPR di PPR Bersepadu Senawang, Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meningkatkan lagi kemudahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memenuhi Indeks Daya Huni yang akan diperkenalkan kementerian pada tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia termasuklah menaik taraf beberapa kemudahan seperti kemudahan internet bagi memudahkan pembelajaran anak-anak. 

“Insya-Allah hari ini adalah penggulungan peringkat jawatankuasa KPKT yang sedang dilakukan oleh Timbalan Menteri, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib, seandainya ia diluluskan bermakna sejumlah RM30 juta diumumkan untuk dibelanjakan bagi menyediakan kemudahan dan agenda PPR ini serta memberi manfaat kepada 150,000 isi rumah dari 36 buah PPR.

“Buat permulaan akses adalah di kawasan umum tetapi akan datang kami akan memastikan kemudahan fiber sampai kepada seisi rumah secara sinergi. Awal tahun depan, KPKT akan memperkenalkan Indeks Daya Huni yang menjadi garis panduan untuk kemajuan atau kebenaran merancang untuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita merasmikan Majlis Pelancaran Program Jendela@PPR di PPR Bersepadu Senawang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Azhar Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani. 

Jendela@PPR memfokuskan perluasan akses dan ketersambungan internet dalam kalangan penduduk PPR yang melibatkan pemasangan kawasan tumpuan khas (hotspot) tanpa wayar di kawasan guna sama di 36 daripada 154 PPR yang telah dikenal pasti.

Menurut Reezal Merican lagi, setakat hari ini, sebanyak 80 PPR telah dilengkapi infrastruktur fiber optik manakala 53 PPR lagi sedang dinaik taraf kepada fiber optik serta sebanyak 21 PPR lagi dalam perancangan untuk dinaik taraf. 

“Selepas ini, semua PPR perlu ada elemen fiber to the room atau semua bilik tersedia dengan kemudahan internet seperti di dua PPR iaitu PPR Kuah, Langkawi dan PPR Hulu Melaka,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyerahkan peranti mudah alih atau tablet kepada 20 orang pelajar sekolah sumbangan daripada pihak Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN