IPOH: Kementerian Pendidikan sedang menunggu laporan terperinci kes buli membabitkan lima pelajar di sebuah sekolah menengah berasrama dekat Muadzam Shah di Rompin, Pahang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, tindakan akan diambil setelah siasatan lengkap oleh pihak berkaitan selesai dijalankan.
“Apa yang paling penting sekarang, kita tunggu laporan terperinci daripada pihak berkenaan.
“Apa-apa tindakan, perlulah berpandu kepada apa yang sebenarnya berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpah sebuah persatuan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar hari ini yang mendedahkan lima pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah menengah berasrama di Muadzam Shah dikurung dalam bilik selama kira-kira dua jam dan dibelasah sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.
Difahamkan, kejadian berlaku pada 3 Disember lalu di mana kesemua mangsa berusia 14 tahun dipukul, ditumbuk dan disepak selain dikenakan ‘hukuman’ rotan oleh pelajar senior.
Dua laporan polis dibuat pada Isnin lalu berkaitan kes pukul berkenaan dan kini dalam siasatan pihak polis.
Sementara itu dalam perkembangan sama beliau berkata, pihaknya akan menjalankan kajian berkaitan cadangan mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama oleh pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
“Berkaitan cadangan dan pandangan yang diberikan itu, saya ucapkan terima kasih dan kajian akan dijalankan oleh pihak kementerian,” katanya. – UTUSAN ONLINE