Kanak-kanak 5 tahun maut didera ibu dan kekasih - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 5 tahun maut didera ibu dan kekasih

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Apa sudah jadi dengan seorang ibu ini yang sanggup  mendera anak kandungnya sendiri hingga maut.

Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandungnya sendiri serta kekasih wanita itu dalam kejadian di rumah mereka di Taman Nusa Bistari, di sini semalam.  

Kanak-kanak berusia lima tahun itu meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, dekat sini dengan kecederaan di mulut serta lebam di seluruh bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis Johor Bahru Selatan (JBS) menerima panggilan daripada petugas HSA mengenai kematian kanak-kanak itu kira-kira 12.20 tengah hari.

DZULKHAIRI MUKHTAR

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama dua suspek iaitu ibu kandungnya berusia 32 tahun dan teman lelakinya berusia 35 tahun serta seorang adik dan kakak. 

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa terdapat kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

“Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan ‘poly pipe’ di atas sofa serta kesan darah di rumah suspek yang kemudiannya kesemua barang itu dirampas. 

“Pemeriksaan awal oleh pihak HSA terhadap mangsa mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, mangsa dibawa sendiri oleh ibu kandungnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Susulan laporan kematian itu, polis menahan pasangan kekasih yang disyaki mendera kanak-kanak lelaki berkenaan. 

Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini selepas keputusan ujian calitan Covid-19 mangsa diperolehi.

Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan masing-masing di Taman Nusa Bestari dan HSA bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah, selain akan dimohon reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya