Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan Masyarakat India dibentuk - Utusan Malaysia

Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan Masyarakat India dibentuk

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan Masyarakat India untuk memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) dapat dijalankan dengan baik dan telus.

Menurut Ismail Sabri, beliau percaya dengan kewujudan jawatankuasa khas itu, segala perancangan jangka pendek dan panjang di bawah pelan tindakan dapat dilaksanakan dengan baik demi kepentingan kaum India di negara ini.

Katanya, beliau akan melancarkan PTMI dalam waktu terdekat apabila pelan itu merangkumi pelbagai sasaran jangka pendek dan panjang bersama agensi peneraju dan pelaksana.

“Bagi memastikan pelaksanaan dapat dijalankan dengan baik dan telus, saya bersetuju cadangan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran supaya Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan Masyarakat India dibentuk.

“Jadi saya percaya dengan adanya Jawatankuasa Khas Kabinet ini, segala perancangan jangka pendek dan panjang di bawah PTMI dapat dilaksanakan demi kepentingan kaum India,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini hari ini.

Turut hadir Vigneswaran dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan beliau akan berbincang dengan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique supaya Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dapat diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan penambahan peruntukkan kepada Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) sebanyak RM25 juta setahun setelah perkara dikemukakan itu beliau dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Untuk pulangkan balik dana yang diambil semula MOF (Kementerian Kewangan), saya akan panggil dan berjumpa dengan MOF untuk berbincang berhubung perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan, MIC mengucapkan terima kasih dan menghargai MIC apabila memilih untuk kekal dan bersama Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan cabaran besar sejak penubuhan gagasan politik itu.

Katanya, selepas PRU-14 memperlihatkan banyak rakan politik mengambil keputusan meninggalkan BN sama ada menyertai gabungan lain atau bergerak secara sendirian.

“Kepimpinan BN ketika itu tidak memaksa sesiapa pun untuk kekal bersama. Nilai kejujuran dan keikhlasan diuji, BN berhadapan cabaran sejak penubuhannya, tetap MIC pilih kekal bersama BN. Malah Tan Sri Vigneswaran pada 21 Oktober 2018 menegaskan MIC akan terus kekal bersama UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam BN,” jelas beliau.

Ismail Sabri menegaskan, kesetiaan amat penting pada setiap masa dan MIC terus komited untuk bersama-sama mengharungi masa depan politik tanah air.

“Kematangan berpolitik dan komitmen kepimpinan MIC menyakinkan BN untuk terus bersolidariti dan mara ke hadapan sebagai satu pasukan atau satu keluarga demi pembangunan negara.

“Kemenangan calon MIC di Gadek dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan bahawa dengan kerjasama politik BN, kita dapat membawa perubahan dan yang pentingnya semangat setiakawan dikekalkan tanpa keraguan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN