Jangan percaya parti Malaya termasuk DAP - Voon Lee Shan - Utusan Malaysia

Jangan percaya parti Malaya termasuk DAP – Voon Lee Shan

VOON LEE SHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Voon Lee Shan tampil menyeru pengundi supaya tidak memangkah mana-mana parti yang berasal dari Semenanjung termasuk DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) itu mendakwa, parti-parti seperti PKR dan DAP bukan sahaja gagal membawa perubahan, malah cuba ‘merampas’ hak orang Sarawak.

“Parti politik macam PKR dan DAP, kamu cuba ubah, tapi slogan ini dah ada sejak 2006. Macam mana nak ubah kalau kamu tak boleh jadi kerajaan.

“DAP kata dia nak jadi pembangkang efektif. Jadi pembangkang tak boleh buat apa-apa, tak ada perubahan, kuasa bukan di tangan kamu. PKR dan DAP tak ada bilangan yang mencukupi. Tak boleh bentuk kerajaan, macam mana nak bentuk kerajaan kalau tak ada angka yang mencukupi.

“Sebab inilah PBK bertanding 73 kerusi, sebab kita tahu kita boleh ubah, bukan sahaja ubah kerajaan tetapi boleh bawa Sarawak ke arah kemerdekaan, itu yang kita nak,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Tambah Lee Shan, pengundi tidak lupa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya gagal memperjuangkan hak orang Sarawak.

“Kalau betul PKR dan DAP boleh ubah, masa 22 bulan dulu boleh sahaja mereka tandatangan bermacam-macam dokumen, gubal undang-undang yang memihak kepada Sarawak.

“Mereka tak boleh salahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Patut bagi sahaja royalti minyak, kenapa nak salahkan GPS. Ini maknanya DAP impotent, tidak mampu buat, semasa berkuasa mereka tak buat.

“PH tidak buat, jadi jangan undi PKR, jangan undi DAP. Jangan percayakan parti dari Malaya. Kalau undi mereka sama macam undi untuk orang Malaya,” katanya.

Dalam pada itu, Lee Shan berkata, pihaknya enggan bekerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) kerana berlainan ideologi.

“PSB tak mahukan kemerdekaan. Apa yang dia nak adalah autonomi menerusi rundingan, sebab ideologi tak sama, jadi kita tak boleh terima.

“Lagipun, pemimpin PSB dah pernah jadi menteri seperti Baru Bian dan Wong Soon Koh, dah pernah jadi kerajaan.

“Jadi menteri banyak penggal tapi apa mereka dah buat? Adakah kita nak bagi lagi mereka lima penggal? Tak patut bagi mereka lagi, sekarang masa bagi orang baharu ambil alih kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN