PETALING JAYA: Datuk Seri Naib Tun Razak mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan keberadaannya di Singapura tempoh hari.
Dalam kapsyen gambar yang diselitkan tersebut, pemilik akaun Facebook itu mempersoalkan Najib bertemu dengan cucu di Singapura dengan gambar menaiki kereta mewah dan bermain golf di negara tersebut.
“Ini pun jadi isu? Tak kan saya bersama cucu 24 jam setiap hari selama tempoh enam hari berada di Singapura?
“Individu dalam gambar ini ialah Encik Sam Goi yang juga terkenal sebagai ‘Popiah King’ Singapura. Encik Sam kini berada di tempat ke-23 dalam senarai Forbes paling kaya di Singapura dengan kekayaan AS$1.7 bilion Ya, kereta Rolls-Royce itu adalah milik dia,” tulis bekas Perdana Menteri itu menjawab persoalan berkenaan.
Jelas beliau, Sam Goi telah melabur di Malaysia dan kini memiliki projek Resort Sutera Harbour di Sabah.
“Bilionair itu memberitahu bahawa dirinya adalah peminat dasar-dasar ekonomi dan pembangunan saya semasa saya PM (Perdana Menteri) dan minta untuk diperkenalkan dengan saya.
“Masa kita bertemu, dia banyak meminta pandangan saya tentang hala tuju pembangunan dan ekonomi negara sebab dia ingin lebih melabur di Malaysia.
“Adakah ia salah bagi saya untuk gunakan masa peribadi saya untuk beri pandangan saya kepada pelabur asing yang ingin melabur ke Malaysia biarpun saya bukan PM lagi dan bukan Menteri?” Soalnya.