Industri perikanan negara sumbang 0.8 peratus KDNK - Utusan Malaysia

Industri perikanan negara sumbang 0.8 peratus KDNK

DR Ronald Kiandee menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) kepada seorang penerima ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Nekmat di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Industri perikanan negara menyumbang 0.8 peratus setahun kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menerusi pengeluaran berjumlah 1.78 juta tan metrik dengan nilai RM13.84 bilion. 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam kenyataan memaklumkan, pengeluaran kepada industri perikanan itu disumbangkan oleh perikanan tangkapan marin sebanyak 1.38 juta tan metrik, akuakultur berjumlah 400 ribu tan metrik dan pendaratan perikanan darat sebanyak 5,625 tan metrik.

“Industri perikanan menyokong seramai 119,828 nelayan laut, 20,258 penternak akuakultur dan 3,103 nelayan darat.

“Kerajaan melalui kementerian sentiasa peka dan mendengar akan keperluan juga cabaran yang dihadapi oleh golongan nelayan. Justeru, pelbagai peruntukan dan inisiatif disediakan bagi membantu mereka,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee memaklumkan pihaknya  pada tahun ini telah memperuntukkan lebih RM150 juta ringgit bagi menyediakan bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan, Insentif Hasil Tangkapan dan Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan.

Selain itu, kementerian memperuntukkan sebanyak RM6.43 juta ringgit untuk program baik pulih rumah nelayan dan pembinaan rumah baharu kepada nelayan seluruh negara di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).

“Kerajaan memperuntukkan RM4.82 bilion kepada kementerian dalam Bajet 2022 dan secara khususnya,akan menerima RM1.7 bilion dalam pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian serta perikanan untuk tahun 2022,” jelas kenyataan itu lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN