PETALING JAYA: Sebanyak RM109 juta jumlah kutipan saman trafik direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak hari pertama tawaran diskaun sehingga 80 peratus sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah kutipan itu diperoleh selepas 2.3 juta saman trafik diselesaikan di seluruh negara.
Susulan sambutan menggalakkan, kata beliau, pihaknya akan melihat keperluan untuk menambah kaunter pembayaran di Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) agar kesesakan dapat dielakkan.
“Dengan inisiatif ini, diharapkan dapat membantu masyarakat yang mana pendapatan terjejas akibat Covid -19 sejak dua tahun lalu agar menyelesaikan saman trafik yang tertunggak.
“Biar pun adanya pengurangan nilai saman ini, orang ramai diingatkan agar terus patuh dengan peraturan trafik yang ditetapkan dan terus kekal patuh kepada undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Terdahulu, Acryl Sani turut mengumumkan tempoh diskaun bagi pembayaran saman trafik akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Lanjutan dilakukan bagi memberi peluang kepada orang ramai mengambil sedikit masa menyelesaikan saman tertunggak selain mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter bayaran saman.