BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjangkakanharga barangan yang meningkat ketika ini kembali stabil pada awal tahun depan.
Ia kata Perdana Menteri, menerusi pelbagai program dilaksanakan kerajaan dan lebih banyak negara mula membuka sektor ekonomi masing-masing.
Beliau menjelaskan, kenaikan harga barangan di luar kawalan kerajaan kerana banyak diimport dari luar negara.
“Kita ternak ayam tetapi makanan ayam datang dari luar, begitu juga dengan baja dan racun yang diimport dari luar. Bila barang sedikit, permintaan banyak, tentu sahaja akan menyebabkan harga naik.
“Saya percaya keadaan ini akan beransur pulih apabila sektor ekonomi masing-masing dibuka dan pengeluaran akan kembali normal dan kita jangka insya-Allah pada awal tahun depan harga kembali stabil,” katanya ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas di sini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga menganjurkan program jualan murah yang menawarkan harga barangan lebih rendah selain memberi peruntukan dan insentif kepada golongan terkesan.
“Untuk kurangkan beban rakyat, saya dimaklumkan harga barang di program jualan murah menawarkan diskaun 20 hingga 50 peratus, kita juga beri insentif dan subsidi racun kepada petani,” katanya.
Perdana Menteri turut meminta gerakan koperasi di negara ini mewujudkan pemborong koperasi bagi membantu kerajaan menjual harga barang pada harga murah dan berpatutan.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
Jelasnya, jika diwujudkan, pemborang koperasi boleh membeli barangan sebagai contoh beras secara pukal dan selepas itu ia dibekalkan kepada semua kedai runcit koperasi di seluruh negara.
Sementara itu, Ismail Sabri tidak faham bagaimana seorang penceramah bebas boleh membuat tuduhan mendakwa ayam beku yang diimport dari Thailand dan China ke negara ini tidak halal.
Perdana Menteri berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali memandangkan aspek halal dan kebersihan produk makanan yang dibawa masuk ke Malaysia sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan.
“Saya pun tidak faham ada penceramah agama membuat cerita bukan bukan tanpa usul periksa kononnya ayam daripada Thailand dan China tidak halal.
“Jadi kalau diimport daripada China atau Thailand sekali pun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan siasat bukan sahaja sembelihan tetapi kebersihan yang menjadi syarat utama,” katanya.










