Harga barang naik jejas proses pemulihan negara - Utusan Malaysia

Harga barang naik jejas proses pemulihan negara

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) memandang serius isu kenaikan harga barang yang akan menjejaskan proses pemulihan negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat yang baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor-sektor ekonomi dibuka semula, kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang yang tentunya menjejaskan kehidupan mereka.

Menurutnya, beliau mengikuti dengan dekat perkembangan semasa berkenaan isu kenaikan harga barang di Malaysia terutamanya barang makanan.

“Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September lalu, berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Ini akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang yang tentunya akan membebankan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPN telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan kerajaan.

Katanya, jawatankuasa itu yang diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi berkenaan akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang.

“MPN dalam sidang-sidang yang lepas telah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula, terutamanya dari sudut ketidakupayaan penawaran bagi memenuhi permintaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Dalam hal ini, isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diberikan penekanan khusus MPN,” katanya.

Selain itu beliau berkata, MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan itu.

“Langkah ini dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran. Jawatankuasa ini diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agensi penguat kuasa akan terus melipat ganda usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

Tegas beliau, tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang ingkar.

Malah, Muhyiddin turut berpandangan sebuah Jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Sementara itu, bagi membantu meringankan beban rakyat pada waktu yang sukar ini, Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memutuskan supaya PN menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

“Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee iaitu Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN