JOHOR BAHRU: Dua warga Singapura termasuk seorang wanita cedera apabila kereta yang dinaiki mereka melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Lingkaran Dalam (EDL) di sini, pagi semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika kereta BMW yang dipandu Sean Ho Jing Rong, 25, dari arah Stulang Laut merempuh pembahagi jalan menghala ke pusat bandar berhadapan Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Rakan wanitanya, Noelle Wong Boon Sze, 28, turut tercedera akibat hentakan kuat di bahagian depan kenderaan tersebut.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin yang diketuai Hussin Ismail bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan pada pukul 8.24 pagi.
Bagaimanapun sebaik sahaja tiba, pemandu dan penumpang kereta tersebut telah keluar daripada kenderaan mereka dan terbaring di atas jalan raya dengan kesan luka.
Menurut Hussin, kerja-kerja pembersihan minyak akibat kemalangan tersebut dilakukan dengan menabur habuk kayu bagi mengelak permukaan jalan raya menjadi licin.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil.