JEMPOL: Dua sahabat masing-masing dikompaun RM2,000 selepas dikesan cuba merentas negeri dari Felda Jengka 20, Pahang ke Felda Pasir Besar, Gemas walaupun tidak lengkap vaksin Covid-19.
Mereka yang sudah menerima dos pertama pelalian berkenaan ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 1, Jalan Rompin-Pasir Besar, di sini, kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 21 tahun dan 31 tahun juga gagal menunjukkan kebenaran merentas negeri dari pihak polis serta alasan yang munasabah.
“Oleh itu, kedua-duanya telah didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dan dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu dalam SJR yang sama, Chang Hook berkata iaitu kira-kira pukul 11.30 malam, seorang lelaki berusia 35 tahun telah ditahan susulan memiliki dadah jenis syabu.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan telah menemui 10 peket lutsinar pelbagai saiz dan sepeket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah berbahaya jenis syabu seberat 3.99 gram.
“Suspek yang berasal dari Felda Jelai 2, Gemas tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah serta didapati sudah terbabit dalam aktiviti berkenaan sejak lima tahun lalu.
“Kes ini disiasat di bawah Sekyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.










