Dua remaja Orang Asli maut kemalangan motosikal - Utusan Malaysia

Dua remaja Orang Asli maut kemalangan motosikal

KEADAAN motosikal dinaiki salah seorang mangsa yang remuk selepas bertembung secara berhadapan di Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi - Kluang berhampiran Kampung Pasir Intan, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Dua remaja lelaki Orang Asli maut selepas terlibat nahas motosikal yang berlaku di Kilometer 31.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Kampung Pasir Intan, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihak polis menerima maklumat kejadian itu pada pukul 9.30 malam membabitkan motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah motosikal jenis Demak 110.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal jenis Demak 110 secara berdepan.

“Siasatan awal mendapati mangsa berumur 13 tahun berketurunan Orang Asli menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Kota Tinggi menghala ke Kluang. 

“Semasa tiba di lokasi kejadian iaitu kawasan jalan lurus dan gelap tanpa lampu, mangsa telah berlanggar dengan sebuah lagi motosikal dinaiki remaja berusia 15 tahun yang juga keturunan Orang Asli dari arah bertentangan. 

“Akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal Honda EX5 mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan kaki telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hussin berkata, mangsa kedua yang turut mengalami cedera parah pada bahagian kepala telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) oleh ambulans. 

Bagaimanapun dia kemudian disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di HKT.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar. Orang awam dinasihati supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN