Dua lelaki Bangladesh dalang cetak PLKS palsu - Utusan Malaysia

Dua lelaki Bangladesh dalang cetak PLKS palsu

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan dua lelaki warga Bangladesh leka menyiapkan tempahan yang diterima iaitu pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pasport mengundang padah apabila mereka diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), 6 Disember lalu.

Penahanan kedua-dua suspek berusia 34 dan 37 tahun itu dilakukan rentetan tangkapan yang dilakukan pada 25 November lalu terhadap seorang lelaki warganegara Myanmar berusia dalam lingkungan 30-an yang merupakan orang perantaraan kepada sindiket ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, modus operandi yang digunakan mereka adalah dengan menjadikan sebuah apartment di Wangsa Maju sebagai markas memproses dan menghasilkan dokumen palsu.

Beliau berkata, ketika tangkapan dilakukan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi telah ditangkap oleh anggota serbuan, memandangkan kediaman berkenaan dikepung.

“Pemeriksaan di premis tersebut mendapati sebuah bilik digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu.

“Antara yang dirampas adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad dan beberapa peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, hasil serbuan itu turut menemukan pelekat-pelekat keselamatan Imigresen, Kad CIDB dan pasport pelbagai negara seperti India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang telah siap dicetak untuk diserahkan kepada pelanggan.

“Modus operandi sindiket adalah mengunakan orang tengah bagi mencari pelanggan yang memerlukan perkhidmatan mereka.

“Sasaran sindiket adalah warganegara Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India dengan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi pelekat PLKS. Bagi kad CIDB dan pasport bayaran pula dikenakan antara RM100 hingga RM300,” ujarnya.

Tambah Khairul Dzaimee, kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 dan 1963 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah.

“Kedua-dua suspek ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN