MERSING: Dua kanak-kanak ditemukan lemas ketika berkelah bersama keluarga masing-masing di sebuah lombong pasir di Kampung Sisik Tanjung Resang, Endau, petang semalam.
Mangsa yang meninggal dunia ialah kanak-kanak perempuan, Meredith Mcaela Anak Alfread, 10, dan kanak-kanak lelaki, Wester Carlos AK Pilip Wester, 4, yang kedua-duanya menetap di Kem Iskandar Mersing.
Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintenden Mohd. Nor Mohd. Isa berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian melibatkan kanak-kanak berbangsa Iban itu pada pukul 6.35 petang.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada apa-apa tanda perbuatan jenayah. Kedua-dua mangsa bersama keluarga mereka pergi ke lombong pasir berkenaan untuk berkelah.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Mersing sebaik sahaja ditemukan sebelum pegawai perubatan mengesahkan mereka mati akibat lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Alias Hussin berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, bomba bertindak mencari di permukaan sekitar lombong dan operasi pencarian turut dibantu bapa kepada kedua-dua mangsa.
“Mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 1.22 meter dari tebing. Bomba kemudiannya memberi rawatan awal dengan melakukan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR).
“Mangsa dibawa ke Hospital Mersing dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik tentera dan operasi ditamatkan pukul 7.28 malam,” katanya.










